Blogroll

BLOG PERTANDINGAN KEPENGGUNAAN SEMPENA HARI PENGGUNA MALAYSIA 2018

Khamis, 17 Mei 2018

Punca Mengapa Strategi Pemasaran Media Sosial Sering Gagal


Masalah yang biasanya wujud ialah apabila strategi dibentuk mengikut perspektif sendiri dan mengharapkan para pengguna mengikut kehendak mereka.

Dengan mendalami aktiviti-aktiviti pemasaran yang dijalankan oleh para pelanggan, saya terdedah kepada pelbagai bentuk dan jenis kaedah yang mereka gunakan. Ia begitu menarik kerana mereka melakukan apa yang dilakukan di media sosial mereka selama ini berdasarkan logik yang wujud di fikiran masing-masing. Mereka menyediakan strategi menurut perspektif mereka sendiri dan bertindak mengikut apa yang dirasakan betul.


Apabila terlalu banyak masa telah dihabiskan dan pelbagai aktiviti yang dilakukan sering menemui jalan buntu, mereka akhirnya mengalah. Ketika bertemu dan berbincang, mereka ceritakan kepada saya yang mereka perlu berbuat sesuatu yang betul kerana mereka sudah tidak tahu hendak buat apa lagi bagi mendapatkan jualan yang sepatutnya.

Jalan cerita mereka ini hampir sama dan saya boleh membuat kesimpulan ini bagi memudahkan pemahaman anda. Anda boleh belajar dari kesilapan mereka ini.

Pertama, mereka melakukan pemasaran mengikut perspektif mereka sendiri. Perkara yang paling asas dalam penyediaan strategi pemasaran tidak kira sama ada pemasaran secara tradisional mahupun digital ialah, perspektif perlu dilihat dari mata para pengguna dan bukannya dari syarikat atau diri sendiri. Apabila strategi dibentuk mengikut perspektif pengguna, proses pembelian dan lain-lain akan menjadi lebih mudah dan cekap. Bukan itu sahaja, pengalaman pembelian buat kali pertama dan juga pengalaman pembelian untuk kali kedua dan seterusnya juga akan lebih manis.

Masalah yang biasanya wujud ialah apabila strategi dibentuk mengikut perspektif sendiri dan mengharapkan para pengguna mengikut kehendak mereka, mana boleh. Bayangkan mereka mengajak para pelanggan untuk menggunakan proses yang ada dengan harapan para pengguna akan membeli produk atau perkhidmatan tadi. Mereka juga mengharapkan agar pengalaman yang manis akan diperolehi oleh para pengguna dari proses tadi. Secara realitinya, mereka tidak sedar yang strategi itu tidak digemari oleh para pengguna kerana sebab-sebab tersendiri. Ini secara tidak langsung membuatkan para pengguna bertindak membeli di tempat lain.

Kedua, mereka tidak tahu bagaimana media sosial berfungsi. Bukan sahaja pemilik dan pihak pengurusan syarikat tidak tahu bagaimana media sosial berfungsi, malah pekerja yang mereka lantik untuk bertanggungjawab juga tidak tahu bagaimana media sosial berfungsi terutamanya dari aspek pemasaran. Mereka sebenarnya lebih terdedah kepada penggunaan media sosial untuk diri sendiri, lebih kepada berinteraksi dengan rakan-rakan dan topik-topik juga lebih santai. Mereka tidak terdedah kepada aspek perniagaan, bagaimana untuk memuatnaik status yang sesuai, jawapan-jawapan untuk soalan yang ditanya pelanggan dan sebagainya.

Ketiga, mereka tidak mahu meluangkan masa belajar bagaimana menggunakan media sosial dengan cara yang sepatutnya ia digunakan. Tidak kira sama ada mereka ingin belajar melalui pembacaan artikel, buku ataupun melaburkan sedikit wang untuk belajar dari pakar yang ramai di luar sana, faktor ini sangat penting untuk mereka betul-betul memahami ‘permainan’ pemasaran media sosial ini khusus untuk perniagaan anda. Ini tidak. Mereka tidak faham betul-betul dengan jelas konsep pemasaran media sosial itu sendiri, jadi bagaimana hendak mengambil kesempatan ke atas media sosial tadi.

Ia sama seperti anda melihat orang lain memandu kereta. Dari sudut pandangan anda, ia memang kelihatan mudah. Bagi anda, ia cuma permainan di antara stereng, pedal menekan minyak, pedal untuk brek, penggunaan gear dan beberapa faktor lain. Tetapi apabila disuruh anda memandu, ternyata anda tidak boleh melakukannya kerana hampir pasti anda tidak yakin dengan teori yang ada. Jadi, sebab itulah keperluan tenaga pengajar pemandu diperlukan untuk mengajar anda teknik yang sepatutnya anda gunakan ketika memandu.

Dan yang keempat dan terakhir sekali, mereka tidak mahu mengeluarkan pelaburan walaupun sedikit sahaja yang diperlukan. Sama ada mereka tidak tahu berapa yang harus dibelanjakan atau tidak mahu mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk pemasaran di media sosial. Mereka tidak tahu yang media sosial kini semakin mahal untuk digunakan. Kini tiada lagi istilah perkembangan organik di media sosial. Organik di sini bermaksud status-status yang mereka muatnaik akan berada di News Feed orang lain secara automatik. Tiada lagi benda-benda percuma di media sosial kerana semuanya perlu dibayar dalam bentuk pengiklanan di platform media sosial yang mereka berada. Selama ini memang sia-sia sahaja mereka memuatnaik status terbaharu setiap hari kerana memang tiada siapa yang melihatnya melainkan diri mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan