Jack Ma melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital di ibu negara
ZON Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di negara ini boleh dikatakan sebagai yang terawal di dunia.
Ia telah dilancarkan oleh Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pengasas Alibaba, Jack Ma pada Mac 2017 lalu.
Jika diteliti perkembangan industri perniagaan online, usaha ini merupakan penyediaan sebuah e-hab yang dirancang secara bersama antara Alibaba, sebuah syarikat perniagaan terkemuka dari China dan kerajaan Malaysia menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah perancangan Platform Dagangan Elektronik Dunia (eWTP).
Ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini masih meragui keupayaan DFTZ yang dikatakan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan perdagangan elektronik (e-dagang) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka kurang keyakinan untuk terlibat dengan perniagaan online daripada perspektif pembeli.
Usaha kerajaan Malaysia untuk mewujudkan DFTZ ini perlu dilihat sebagai satu usaha berani dalam memacu transformasi ekonomi digital yang akan mula beroperasi pada 1 Oktober ini.
Ini adalah kerana DFTZ merupakan zon perdagangan pertama di dunia yang menyediakan pelbagai fasiliti berbentuk fizikal dan maya bagi membantu peniaga menceburi perniagaan berasaskan internet.
Usaha ini sangat tepat kerana kedudukan Malaysia yang berada di tengah-tengah antara Thailand yang diketahui amat maju dalam bidang ekonomi pertanian dan Singapura yang merupa teraju utama dalam bidang ekonomi perkhidmatan.
Untuk membolehkan Malaysia keluar daripada bayangan dua negara ini, kita perlu pacu ekonomi negara melalui usaha yang berlainan daripada ekonomi yang berasaskan pertanian dan perkhidmatan.
Atas faktor inilah, pelancaran DFTZ perlu dilihat sebagai satu usaha yang bijak apabila ekonomi berasaskan digital ini mampu memacu ekonomi negara keluar daripada bayangan ekonomi berasaskan pertanian dan perkhidmatan.
Pelengkap
Bahkan, ekonomi berasaskan digital seperti usaha penubuhan DFTZ akan menyokong dan menjadi pelengkap kepada ekonomi yang berkonsepkan pertanian dan perkhidmatan yang diamalkan oleh negara jiran, Thailand serta Singapura.
Ini adalah merupakan satu faktor kukuh mengapa sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan menyasarkan pertumbuhan sektor e-dagang daripada 10.8 peratus kepada 20.8 peratus menjelang tahun 2020.
Dalam membangunkan DFTZ, kerajaan merancang untuk membangunkan tiga komponen utama untuk menyokong kejayaan DFTZ ini.
Antaranya, Hab Pemenuhan Elektronik yang dijangka meliputi kawasan Aeropolis KLIA, Sepang di Selangor yang melibatkan kawasan seluas lapan hektar.
Hab ini dilihat akan membantu PKS atau perniagaan tempatan mengeksport barangan mereka dengan lebih mudah hasil bantuan penyedia perkhidmatan terkemuka termasuk gudang dan perkhidmatan logistik yang lebih cekap serta teratur.
Selain daripada itu, Hab Perkhidmatan Satelit iaitu Bandar Internet Kuala Lumpur akan disediakan di Kuala Lumpur melibatkan kawasan seluas 46,450 meter persegi.
Bandar ini bakal menjadi hab digital premium untuk syarikat-syarikat tempatan dan global yang berkaitan internet bagi memudahkan sokongan, perkongsian rangkaian serta penyebaran pengetahuan.
Seterusnya komponen terakhir pula ialah Platform Perkhidmatan Elektronik yang dibangunkan untuk mengurus pelepasan kargo dan proses-proses lain yang diperlukan untuk perdagangan merentasi sempadan dengan lebih cekap akan dibangunkan.
Pasaran global
Dengan adanya penstrukturan melalui pembangunan DFTZ, pelaksanaannya kelak dijangka dapat melonjakkan sumbangan sektor PKS kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 60 hingga 80 peratus berbanding hanya 37 peratus pada ketika ini.
DFTZ juga dijangkakan menggandakan pertumbuhan sektor PKS, seterusnya meningkatkan jumlah eksport barangan tempatan sebanyak RM112 bilion dan mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan daripada sektor industri yang berbeza menjelang tahun 2025.
Pengusaha tempatan pula akan menyediakan barangan mengikut piawaian antarabangsa yang dahulunya hanya dijual di dalam negara sekali gus bersedia memasuki pasaran global.
Dengan adanya gabungan usaha ini, masyarakat perlu percaya pencapaian ekonomi negara dapat digandakan menggunakan medium ekonomi digital itu.
Adalah menjadi harapan besar agar projek DFTZ dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha PKS tempatan.
Ini kerana ia merupakan hab ekonomi digital pertama dunia di luar China yang memberi tumpuan kepada pengembangan pasaran usahawan PKS.
Usahawan ini haruslah menjadi peneraju dan pemain peranan utama dalam melaksanakan agenda pemantapan ekonomi negara.
Sumber : kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan