MALAYSIA sebagai sebuah negara yang telah melonjak ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan teknologi. Antara yang memainkan peranan penting bagi Ekonomi Digital adalah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
Pada 2011, MDeC telah diberi mandat untuk melangkah lebih luas daripada Koridor Raya Multimedia dan mula melihat kepada Ekonomi Digital secara holistik, bagi membawa agenda Digital Malaysia.
Ini termasuklah memacu ekosistem spesifik bagi pertumbuhan Ekonomi Digital seperti Big Data Analytics (BDA), Internet of Things (IoT), Teknologi Kreatif, e-dagang serta Perkhidmatan dan Kandungan Awan. Saya sendiri telah berkecimpung dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) lebih 30 tahun dan pengalaman itu dimanfaatkan bagi membawa MDeC ke satu tahap yang lebih tinggi.
Hari ini, ekonomi global sedang melalui keadaan yang tidak menentu. Ekonomi yang goyah di seluruh dunia, dengan beberapa pasaran mengalami kejatuhan bebas dan negara menuju ke arah muflis. Industri IT sendiri tidak terkecuali dan merupakan satu industri yang sering menghadapi naik turun dan bergerak dengan sangat pantas.
Usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) adalah bahagian besar dalam peranan MDeC. Kami adalah sebahagian daripada Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) yang diketuai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Malaysia telah menduduki tempat 3 teratas dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global AT Kearney untuk 10 tahun berturut-turut, dengan hanya China dan India berada di hadapan Malaysia.
Bagaimanapun, MDec turut berperanan memastikan pelaburan yang dibuat berjaya. Sebagai contoh, anak syarikat Standard Chartered Bank, Scope yang memulakan operasi pada 2011 kini telah berkembang dan memiliki lebih 4,000 orang tenaga kerja. Tahun lalu, Scope telah mengumumkan untuk terus melabur di Malaysia dan membuka Pusat Kawalan dan Perisikan Kolektif yang beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu bagi operasi global Standerd Chartered.
MDec juga berperanan membantu syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan dan bersaing di peringkat global.
Dalam beberapa minggu kebelakangan, saya menekankan kepentingan untuk mengupayakan syarikat tempatan untuk menjadi ikon global. Walaupun Malaysia masih belum mempunyai versi Microsoft atau Google keluarannya, kita masih berupaya mewujudkan lebih banyak syarikat seperti Silverlake dan Fusionex.
Ini adalah mandat dan agenda kebangsaan yang perlu dipacu MDeC.
Bulan lalu, MDeC telah melancarkan inisiatif Rangkaian Inovasi Pemecutan Global (GAIN) yang mengenal pasti syarikat-syarikat yang mempunyai potensi untuk dipacu menjadi ikon global seperti Sedania Innovator dan iPay88.
Terdapat keperluan kritikal bagi memacu dengan pantas syarikat-syarikat MSC tempatan untuk masuk dan bersaing di pasaran global.
Untuk itu, adalah penting bagi kita untuk membantu syarikat tempatan yang kecil dengan teknologi bagi meningkatkan keupayaan masing-masing.
Syarikat seperti Speedminer yang menyampaikan teknologi analisis sentimen dan Neuramatix, sebuah syarikat perintis dalam mesin pembelajaran adalah antara calon-calon yang berpotensi tinggi.
Kita mahu memastikan MDeC memainkan peranan penting dalam membantu syarikat-syarikat ini merealisasikan cita-cita mereka.
DATUK YASMIN MAHMOOD adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC)
Sumber : Utusan Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan